YANG di Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan beliau menolak usul untuk membahaskan isu banjir di Parlimen pada Isnin lalu,
Menurutnya pada hari itu Parlimen sepatutnya mendengar pembentangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.
Katanya, pembentangan RUU tersebut merupakan satu-satunya agenda di dalam aturan urusan mesyuarat pada hari tersebut namun tidak dapat dibuat kerana proses libat urus antara kerajaan serta pembangkang masih berjalan.
Jelanys, bagaimanapun Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng secara tiba-tiba bangun untuk mendapat penjelasan berhubung isu banjir disusuli beberapa ahli parlimen antaranya Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai).
“Saya menjawab bahawa perkara itu tidak berada dalam aturan urusan mesyuarat. Maka saya tidak mempunyai kuasa langsung untuk membenarkan apa-apa perbahasan yang diminta.
“Ahli-ahli Parlimen semuanya sedia maklum akan hal ini kerana mereka merupakan Ahli-ahli Parlimen berpengalaman, Namun saya tidak tahu kenapa mereka berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan, mengikut peraturan mesyuarat, tidak ada prosedur di mana seorang ahli parlimen itu boleh meminta penerangan menteri.
“Ahli-ahli Parlimen hanya mempunyai hak untuk memberi soalan untuk jawapan lisan. Pada hari tersebut tiada soalan untuk jawapan lisan pada menteri yang dibuat oleh mana-mana Ahli Parlimen.
“Malah pada hari tersebut, soalan dan jawapan lisan tidak dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat,” katanya.
Sementara itu, Azhar, berkata perbahasan hanya boleh diadakan sekiranya terdapat usul sama ada untuk mencadangkan sesuatu atau membentangkan RUU dengan notis usul perlu diberikan kepadanya secara bertulis.
Katanya, bagi hal-hal tergempar dan perlu dirunding secara tergempar, satu usul di bawah Aturan 18(1) perlu dibuat kepadanya sehari lebih awal.
“Untuk hal banjir ini, Ahli-ahli Parlimen boleh sahaja memberikan notis kepada saya melalui WhatsApp dan sebagainya sebelum hari tersebut (20 Disember 2021).
“Malah satu usul bertulis boleh sahaja dibuat pada pagi 20 Disember 2021. Namun, tidak seorang pun yang berbuat demikian,” katanya yang menjelaskan usul diperlukan supaya menteri dapat memberi jawapan dengan sempurna.
Beliau menambah dirinya tidak pernah berniat mengekang hak ahli parlimen berbahas isu penting dan perlu disegerakan namun Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabatnya menjadi kedai kopi tanpa mematuhi peraturan mesyuarat.
“Tidak ada parlimen di negara-negara Komanwel yang membahaskan apa-apa isu yang ‘dipetik daripada udara’ sesuka hati dan pada bila-bila masa tanpa mengikut peraturan dan aturan mesyuarat.
“Bayangkan pada mana-mana hari pun dan bila-bila sahaja, tiba-tiba seseorang ahli parlimen boleh bangun sesuka hati dan mengkehendaki apa-apa isu untuk dibahaskan walaupun tiada dalam agenda mesyuarat,” tegasnya.- Malaysiapost

