Bapa dan anak perempuan korban banjir terbaru di Sri Muda

0
1

DUA beranak ditemui mati dipercayai akibat lemas dalam kejadian di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata mangsa adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya berusia 48 tahun yang ditemui di rumah teres setingkat mereka pada jam 1.40 petang.

“Polis mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan ini.

“Susulan itu, pasukan membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan dan menemui mayat dua beranak itu sekitar jam 1.40 tengah hari tadi di dalam rumah mereka,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan angka kematian akibat banjir di Shah Alam meningkat kepada 14 orang sehingga jam 6 petang tadi membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.

Tambah Baharudin sehingga kini tiada laporan diterima mengenai orang hilang susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, polis akan terus melaksanakan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat dari orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir.

Sementara itu, Baharudin berkata pihaknya menerima 10 laporan mengenai jenayah pecah kedai di Taman Sri Muda.

“Antara yang dipecah masuk adalah kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here