KAMPUNG Peruas, Raub dipilih sebagai juara pertandingan Anugerah Ilham Desa (AID) 2020 sekali gus merangkul hadiah wang tunai bernilai RM30,000, piala iringan serta sijil penghargaan.
Tempat kedua pertandingan yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) ini dimiliki oleh Kampung Lubuk Temiang, Labuan yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, piala iringan berserta sijil.
Manakala tempat ketiga diraih Kampung Kampung Batu Puteh Kinabatangan, Sabah yang membawa pulan wang tunai RM10,000 piala iringan dan siji.
Menurut kenyataan Timbalan Menteri KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, sebanyak enam kampung layak ke peringkat akhir AID 2020 yang terpaksa diadakan tahun ini berikutan pandemik Covid-19.
“Impak AID adalah untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan KPLB kepada warga desa yang mempunyai daya usaha membangunkan eknomomi dan sosial setempat melalui projek yang kreatif dan berinovasi serta berimpak tinggi.
“AID juga dilihat sebagai satu wadah pemangkin kepada usaha warga desa meningkatkan aktitiviti ekonomi dan sekali gus menjana pendapatan warga setempat melalui projek-projek ekonomi yang dibimbing tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, bertemakan ‘Komuniti Kreatif, Desa Inovatif’, kampung-kampung yang menyertai pertandingan ini akan mengetengahkan projek-projek yang diilhamkan penduduk kampung dengan menggunakan daya kreativiti dan inovasi mereka.
Menurutnya, projek-projek akan dinilai menerusi kriteria penyediaan rekod pengurusan projek yang sistematik dan kemampanan projek dalam menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan.
“Antara projek yang dilaksanakan ialah seperti penggunaan kaedah bubu dalam kaedah penangkapan ikan, cenderamata dan alat muzik berasaskan buluh dan kayu, industri inap desa dan homestay dalam komuniti kampung, industri perniagaan dan peruncitan komuniti berpusat di kampung dan pembangunan industri agro pelancongan di sungai melalui kaedah ternakan ikan dalam sangkar.
“Panel penilai adalah terdiri daripada pegawai-pegawai KPLB, KEMAS, dan Agensi KPLB.
“Projek yang dinilai paling menonjolkan daya kreativiti dan inovasi dalam projek dan yang paling membawa impak kepada keseluruhan kampung tersebut dari segi ekonomi dan sosial penduduknya akan merangkul kejuaraan kali ini,” katanya.
Tiga kampung lain yang membawa pulang saguhati bernilai RM4,000 beserta piala iringan ialah Kampung Kilim, Langkawi, Kampung Sinisian, Kundasang, Kampung Long Bedian, Marudi. – Malaysiapost

