Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

0
1

JENAZAH bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah, Taman Mount Austin di Johor Bahru, kira-kira jam 3.20 petang tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Larkin kira-kira jam 2.23 petang selepas bertolak dari rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Ar Raudhah untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tapak Perkuburan Islam Ar Raudhah di Mount Austin untuk dikebumikan, lapor Sinar Harian.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.

Osman menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.45 malam akibat tekanan darah rendah di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada 13 Oktober lalu, Allahyarham dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) kerana diserang strok ringan sebelum dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana tahap kesihatannya merosot.

Allahyarham Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 bersama Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi kerusi DUN Kempas pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Beliau menjawat jawatan itu bagi tempoh 12 Mei hingga 8 April 2019 sebelum meletak jawatan dan diambil alih oleh ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal. – Malaysiapost

Kredit foto : sinar harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here