NADMA tak halang ATM beri bantuan

0
1

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (NADMA), menafikan dakwaan menyatakan tidak membenarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di lapangan.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata dakwaan yang tidak menggunakan sumber sahih itu adalah tidak benar dan menafikan sekeras-kerasnya.

“Konsep pengurusan bencana adalah berdasarkan ‘Whole of Government Approach’ dan ‘Whole of Society Approach’, di mana semua pihak mempunyai peranan untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak NADMA sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana.

“NADMA juga sedang bersedia dengan penyelarasan fasa pemulihan awal bencana seperti pembersihan, anggaran kerosakan dan pembaikan kecil.

“Kerajaan Pusat melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) yang diselaraskan NADMA sentiasa bekerjasama dengan JBPN dan JBPD dalam memastikan pengurusan bencana terlaras,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menghargai usaha Komuniti dan agensi diperingkat tempatan sebagai ‘first responder’, begitu juga usaha pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang persendirian yang banyak membantu.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini situasi bencana banjir negara Aminuddin memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, lapan negeri terjejas iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, masih terkesan akibat bencana banjir, setakat jam 12 tengah hari ini.

“Seramai 66,483 orang mangsa daripada 15,465 keluarga telah dipindahkan ke 422 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sebanyak 35 buah PPS telah dibuka di Kelantan melibatkan empat daerah, manakala 263 buah PPS di Pahang melibatkan 10 daerah dan tujuh PPS di Melaka melibatkan tiga daerah.

“Terdapat enam PPS di Negeri Sembilan melibatkan 3 daerah, 106 PPS di Selangor melibatkan lapan daerah, dua PPS telah dibuka di Perak melibatkan satu daerah serta tiga PPS di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semua pusat pemindahan sementara di negeri Terengganu telah ditutup,” katanya.

Beliau turut memaklumkan secara terperinci keadaan semasa di Selangor, sehingga jam 12.30 tengah hari membabitkan 106 buah PPS aktif beroperasi menempatkan 26,791 orang mangsa daripada 3,704 keluarga.

“Sebanyak lapan daerah masih lagi berhadapan bencana banjir daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang,” katanya.

Tambahnya, sejumlah 11,364 orang petugas daripada agensi-agensi responder sedang menguruskan pengurusan bencana di seluruh negara buat masa ini berbekalkan 3,713 aset logistik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here