9 korban banjir di Taman Sri Muda

0
1

TIGA lagi mayat dipercayai korban banjir ditemui anggota bomba di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, malam dan awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata mayat pertama seorang lelaki tempatan berusia 50-an ditemui di tingkat atas sebuah rumah, kira-kira jam 7.30 malam tadi.

“Pada kira-kira jam 8.35 malam, anggota bomba mengeluarkan satu lagi mayat dipercayai wanita tempatan berusia 70-an dari sebuah rumah di situ.

“Jam 6.20 pagi tadi pula, kita menemui satu lagi mayat wanita tempatan berusia 60-an dalam sebuah rumah satu tingkat,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata, sehingga jam 1.15 tengah hari tadi jumlah kematian membabitkan mangsa banjir di Taman Sri Muda dipercayai akibat banjir adalah seramai sembilan orang.

Semalam, media melaporkan tiga mayat mangsa lemas ditemui orang awam dan pasukan bomba di Taman Sri Muda.

Anggota bomba turut menemui tiga lagi mayat membabitkan wanita berusia 40-an dalam sebuah rumah kira-kira jam 12 tengah hari semalam, manakala dua lagi mayat dipercayai dua beranak perempuan berusia lingkungan 60-an dan 80-an turut ditemui dalam sebuah rumah di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang.

Sementara itu, Norazam berkata, dalam kejadian berasingan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dalam parit di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Haji Sirat, Klang sejak Ahad lalu, ditemui hari ini.

“Kejadian dilaporkan jam 11.58 pagi Ahad lalu mengatakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun terjatuh ke dalam parit dan dihanyutkan air deras ketika berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya.

“Mayat mangsa ditemui jam 10.19 pagi tadi di dalam kolong air kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here