Sindiket jual ‘Anak Angkat Syurga’ tumpas

0
2

SINDIKET menjual bayi yang aktif di aplikasi Instagram menggunakan nama ‘Mencari_Anak_Angkat Syurga’ ditumpaskan polis susulan tangkapan 14 ahli sindiket didalangi warga tempatan dan warga Indonesia.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata kumpulan dikenali ‘Geng Nana’ itu terdiri daripada suspek berusia 25 hingga 58 tahun termasuk ketuanya, wanita berusia 33 tahun dikenali Nana.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dalam beberapa serbuan berasingan bermula 30 November lalu sehingga semalam.

Beliau berkata, turut ditahan adalah pasangan suami isteri berusia 40-an yang juga menjadi pembeli salah seorang bayi lelaki berkenaan berusia tiga bulan pada harga RM12,000.

“Kesemua 16 mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan melalui Op Pintas Nana dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Ekoran itu, Polis Melaka berjaya menyelamatkan tiga bayi dan iaitu dua lelaki berusia tiga bulan dan seorang bayi perempuan empat bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Abdul Majid berkata, siasatan mendapati sindiket didalangi 10 warga tempatan dan empat warga Indonesia itu aktif mempromosikan jenayah itu di Instagram menggunakan nama ‘Mencari_Anak_Angkat Syurga’ sejak Mac tahun lalu.

“Modus operandinya adalah mereka akan mempromosikan pencarian keluarga angkat bayi melalui laman Instagram dan apabila sudah mempunyai ‘pelanggan’, mereka akan cari wanita mengandung anak luar nikah untuk membuat rundingan.

“Rundingan bagaimanapun tidak membabitkan bayaran kepada ibu berkenaan, sebaliknya sindiket hanya menanggung kos bersalin dan jagaan ibu berkenaan oleh ahli sindiket yang berperanan sebagai ‘bidan’.

“Mereka menyasarkan inap desa sekitar Melaka sebagai ‘port’ untuk menguruskan kelahiran bayi berkenaan oleh ‘bidan’ berusia 27 tahun yang masih bebas dan diburu polis,” katanya.

Susulan tangkapan itu katanya, polis merampas beberapa dokumen berkaitan termasuk aku janji serahan bayi, empat keping pasport, empat buah kereta dan lapan unit telefon bimbit.

Jelasnya, kesemua suspek direman sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (2007) (ATIPSOM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here