BANTUAN kewangan RM1,000 diberikan kepada mangsa kediaman terbabit dalam kebakaran di Flat Sri Johor, Cheras.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, lapan keluarga di flat berkenaan juga bakal menerima rumah baharu yang akan disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Seperti yang saya umumkan di Selangor pada pagi tadi mengenai bantuan kepada mangsa bencana, kebakaran juga adalah bencana.
“Jadi kita akan memberikan juga RM1,000 untuk setiap mereka yang terbabit, yang jadi mangsa kebakaran.
“Ada lapan unit semuanya yang terbabit dengan kebakaran ini. Semuanya di tingkat empat, (tingkat) ketiga tidak ada kebakaran.
“Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan Datuk Bandar (Datuk Mahadi Che Ngah) akan menyediakan rumah yang baharu untuk mereka pindah,” katanya pada sidang media sejurus meninjau kebakaran di Flat Sri Johor malam tadi.
Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim Dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah).
Sementara itu Ismail Sabri berkata, pihak bomba sedang menjalankan siasatan ke atas kediaman membabitkan 32 keluarga di tingkat tiga flat berkenaan bagi menentukan sama ada ia boleh diduduki semula.
Sekiranya tidak berbahaya, beliau berkata, keluarga berkenaan boleh kembali ke rumah masing-masing.
“Keadaan semakin terkawal dan dikawal oleh pihak bomba. Cuma setakat ini kita tempatkan mereka (mangsa) dulu di dewan untuk sementara mereka pindah balik dan juga untuk lapan keluarga itu mendapat rumah yang baharu,” katanya.
Kebakaran yang bermula kira-kira 9.20 malam itu melibatkan lapan rumah di tingkat lima Blok 31 Perumahan Awam Sri Johor, Cheras.
Dipercayai, api bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, setakat ini, bomba masih menyiasat sama ada kejadian membabitkan kemalangan jiwa.
Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah blok berkenaan sebelum merebak di keseluruhan tingkat. – Malaysiapost

