SEORANG lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila terkurung dalam kejadian tanah runtuh berhampiran kediamannya di Sungai Penchala, Petaling Jaya, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amhizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.40 tengah malam berhubung kejadian tanah runtuh.
Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat seorang lelaki berusia kira-kira 70 tahun terkurung dalam sebuah daripada rumah terlibat.
“Lelaki itu hanya mengalami kecederaan ringan dan jumlah mangsa yang terlibat belum pasti.
“Semua mangsa telah berpindah ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amhizam berkata, polis telah mengambil tindakan dengan memberi nasihat kepada orang ramai sentiasa berwaspada disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.
Jelas beliau, jika terdapat sebarang maklumat berkaitan tanah runtuh, orang ramai diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai berdekatan. – Malaysiapost

