Mangsa banjir Melaka makin meningkat

0
1

JUMLAH mangsa banjir kilat di Melaka terus meningkat kepada 729 orang berbanding hanya 595 orang sebelum ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sehingga jam 4 petang tadi, sebanyak 10 Pusat
Pemindahan Sementara (PPS) beroperasi di dua daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Jumlah mangsa banjir terus meningkat daripada 595 kepada 729 orang sehingga jam 4 petang tadi.

“Terdapat tujuh PPS di Alor Gajah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Surau Sri Jeram dan SK Belimbing Dalam.

“Di Melaka Tengah pula terdapat tiga PPS iaitu Balai Raya Kampung Tanah Merah, SK Krubong dan SK Taman Merdeka. Setakat ini tiada PPS dibuka di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, dua PPS di Alor Gajah iaitu SK Cherana Puteh dan SK Telok Berembang telah ditutup pada jam 10.30 malam semalam.

Jelas beliau, SK Belimbing Dalam pula merupakan PPS paling ramai dihuni mangsa banjir dengan jumlah 141 orang terdiri daripada 24 keluarga.

“Ia kemudian disusuli PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China yang menempatkan 101 mangsa daripada 30 buah keluarga,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here