UMNO perlu membuat keputusan mengenai kerjasama parti itu dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) supaya akar umbi tidak keliru, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu wajar diputuskan, sama ada menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadual berlangsung pada Januari nanti.
“Kerjasama Umno dan PAS melalui MN belum ditolak kerana tiada keputusan mengatakan kita kena putuskan hubungan sama ada dari MKT, manakala PAU masih belum berlangsung, bermaksud belum lagi ada keputusan untuk ‘reverse’ keputusan yang lepas (setuju bekerjasama).
“Keputusan itu masih ‘stand’, maknanya kita perlu kurangkan kenyataan mengenai PAS. Kena ada keputusan jelas kerana sekarang ada yang ‘yes’, ada ‘no’ (dengan kerjasama itu),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan, lapor Bernama.
Ismail Sabri berpandangan, setakat ini MN masih wujud walaupun sudah lama tidak bermesyuarat dan berharap pertemuan kedua-dua pihak dapat diadakan segera.
Ketiadaan pendirian itu, menurutnya menyebabkan terdapat pimpinan Umno negeri seperti Selangor membuat kenyataan mahu bekerjasama dengan PAS, manakala di Terengganu, mereka menyatakan mahu menamatkan kerjasama terbabit.
“Kenyataan Selangor mahu meneruskan kerjasama tak salah, kerana ia mengikut perhimpunan yang lepas. Umno Bera juga akan meneruskan kerjasama dengan PAS dan saya percaya Pahang juga terus akur dengan (keputusan) perhimpunan itu.
“Saya berpandangan kena beri kelonggaran di negeri untuk buat keputusan yang sesuai dengan negeri masing-masing. Terengganu berbeza dari Pahang dan apa yang sesuai di sini tidak boleh dipaksa di Selangor,” katanya. – Malaysiapost

