PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau tidak mempunyai hak mutlak untuk membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu mesti mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.
“Jangan kita mendahului kuasa Seri Paduka dan jangan mendahului membuat kenyataan dalam perkara bidang kuasa Seri Paduka,” katanya semasa menggulung perbahasan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bera, lapor Berita Harian, hari ini.
Persidangan Umno Bahagian Bera hari ini, menyaksikan usul menyokong beliau untuk terus memimpin negara sehingga tamat penggal pada 2023 dipersetujui sebulat suara bagi memberi ruang kepadanya menstabilkan politik, meredakan situasi Covid-19. – Malaysiapost

