IDENTITI 10 mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam malam tadi, sudah dikenal pasti.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, identiti mangsa yang dikenalpasti termasuk seorang ibu dan lapan anak.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Norul Naziah Buyong, 37, anaknya, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3, dan Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norazam berkata, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia adalah Mohamad Rahimi Rolex, 27.
“Selain itu, empat mangsa yang cedera ialah Abd Razak Majit, 50, Ihyat Sufi Shokip, 20, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, dan Ummi Nasuha Annuwar, 20.
“Manakala pemandu lori berusia 45 tahun dan dua anak lelakinya, masing-masing berusia 19 dan 14 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, 10 termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan treler yang merempuh tiga kereta berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Elite menghala ke Shah Alam, malam tadi.
Kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.
Sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.42 malam untuk operasi menyelamat. – Malaysiapost

