Hari penentuan, Sarawak milik siapa

0
2

HARI ini seramai 1,213,769 pemilih yang layak mengundi akan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan menentukan parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri baharu.

Ia bakal menyaksikan parti-parti politik khususnya empat seteru utama iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Gabungan Anak Sarawak (Gasak) berentap bagi merebut 82 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran akan mula dibuka jam 7.30 pagi dengan seramai 46,565 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian hari ini.

Terdahulu, seramai 349 calon layak bertanding dalam PRN ini, dengan pecahan 304 adalah lelaki dan 45 wanita.

Kerusi DUN Dudong menjadi rebutan paling banyak calon iaitu lapan penjurum sementara pertandingan enam penjuru berlaku di tujuh DUN, lima penjuru (24), empat penjuru (33), tiga penjuru (13) manakala satu lawan satu di empat kawasan.

Ramai berpendapat PRN Sarawak ini sebagai medan ujian bagi GPS yang bertanding dengan lambang baharu, burung kenyalang.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), didakwa mempunyai kelebihan susulan bersandarkan rekod perkhidmatan cemerlang dicapai selepas sekian lama mentadbir Sarawak.

Gabungan itu diyakini tidak bermasalah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam DUN Sarawak, walaupun jumlah kerusi dimenangi mungkin sedikit menurun.

Namun, cabaran getir tetap akan dilalui GPS dengan kemunculan beberapa parti tempatan baharu seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang aktif bergerak sebelum pilihan raya, selain pembangkang tradisi berpangkalan di Semenanjung seperti DAP dan PKR.

Tidak ramai meramal kemampuan parti seperti PBK, Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini kerana hanya muncul menjelang pilihan raya.

Terdahulu, pelaksanaan PRN Sarawak ini adalah siri pilihan raya negeri selepas PRN di Sabah, September tahun lalu dan terbaharu di Melaka namun situasinya berbeza apabila Sarawak masih berada di Fasa Tiga di dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke Fasa 4.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatalkan dan diungkaikan oleh kerajaan.

Apapun hari ini adalah penentu, segalanya terletak kepada kuasa kira-kira 1.2 juta pengundi Sarawak. Keluarlah mengundi awal seperti yang disarankan SPR. Selamat mengundi! – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here