SERAMAI 113 mangsa banjir di beberapa kawasan di Selangor telah dipindahkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam ini selepas kediaman mereka mula ditenggelami banjir.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba masih berada di lokasi bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS.
Beliau berkata, sebanyak tiga PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di negeri tersebut melibatkan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Delek, SRA Pulau Indah dan Sekolah Kebangsaan Telok Gong.
“Keseluruhan hingga kini 113 orang, tapi masih beroperasi,” katanya dalam kenyataan, malam ini
Antara kawasan-kawasan yang dilanda banjir termasuklah Jalan Perajurit 1, Kampung Telok Gong, Klang; Jalan Nangka, Banting dan Jalan Perepat, Taman Dato Hormat.
Sementara itu Norazam menjelaskan, banjir yang berlaku di Kampung Nelayan, Telok Gong berpunca akibat limpahan air di kawasan kumbahan dan longkang sehingga menyebabkan paras air naik sehingga satu meter.
“Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang telah menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 8.45 malam dan enam anggota dikerahkan bagi membantu memindahkan seramai 106 mangsa banjir di kawasan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

