BEKALAN air di 463 kawasan di lima wilayah yang terjejas susulan pencemaran Sungai Semenyih pulih sepenuhnya jam 11 malam tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan memaklumkan wilayah terbabit meliputi Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat.
Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman web www.airselangor.com.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.
Susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Wilayah Petaling membabitkan 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan). – Malaysiapost

