KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebuah akaun di laman Instagram yang didakwa miliknya iaitu bernama ‘dghisham’ adalah palsu.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr Noor Hisham berkata akaun yang menggunakan gambarnya itu tidak dikendalikan oleh beliau atau pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Untuk makluman, akaun instagram dghisham ini adalah palsu dan bukan dikendalikan oleh saya mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Dilampirkan nama-nama asal penyamar sebelum menukar ke nama dghisham,” tulisnya di hantaran itu.
Semakan Malaysiapost hari ini mendapati akaun ‘dghisham’ telah dipadam di laman Instagram.
Menerusi tangkap layar yang dipaparkan, akaun palsu tersebut mempunyai 144,000 pengikut dan keterangan di ruangan Bio bahawa ianya milik Ketua Pengarah Kesihatan. – Malaysiapost

