SEORANG pekerja sebuah hotel dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini selepas mengaku salah melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun minggu lalu.
Malek Saifullizan Md Husin, 35, juga diarahkan mahkamah menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah hotel di Taman Melaka Raya pada jam 5.30 petang, 9 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa bersama keluarganya mendaftar masuk di sebuah hotel di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya bersama ibu dan adik beradiknya.
Tertuduh kemudian mengajak mangsa yang juga pelajar sekolah agama di Johor masuk ke dalam bilik stor untuk mengambil bantal tambahan.
Semasa berada dalam stor, tertuduh menyuruhnya berbaring di atas katil untuk melakukan fisioterapi, namun tiba-tiba tertuduh membuka seluar dan seluar dalam pengadu.
Tertuduh kemudian melakukan amang seksual tanpa kerelaan pengadu sebelum disedari seorang rakan sekerja. Tertuduh kemudian meminta pengadu diam dan merahsiakan apa yang telah terjadi.
Bagaimanapun dalam keadaan takut mangsa terus menceritakan kejadian kepada ibunya sebelum membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh yang masih bujang dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ahli keluarganya yang sakit.
Anis Wahida bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman berat atas kesalahan serius mendatangkan kesan trauma kepada mangsa.
Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara. – Malaysiapost

