YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini mengejutkan pengunjung restoran makanan segera KFC di Jalan Ipoh di ibu negara, apabila berkenan mencemar duli untuk santapan tengah hari.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menikmati santapan tengah hari di tingkat atas restoran tersebut bersama pengunjung yang lain.
“Seri Paduka Baginda berkenan singgah di restorah tersebut dalam perjalanan keberangkatan pulang ke Istana Negara dari Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama pengunjung dan pekerja restoran tersebut,” menurut Istana Negara menerusi perkongsian di media sosial.
Menerusi gambar yang dikongsi, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri membuat pesanan, manakala Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekadar memerhati.
Ini bukan kali pertama Yang di-Pertuan Agong mencuri tumpuan pelanggan di restoran KFC.
Pada Jun 2019, Seri Paduka Baginda menikmati santapan tengah hari di KFC di Temerloh selepas beratur sendiri memesan makanan di kaunter.
Tindakan spontan baginda menarik perhatian pelanggan dan kakitangan restoran berkenaan yang teruja melihat Al Sultan Abdullah mengenepikan sedikit protokol pada diri Baginda untuk beratur membeli hidangan di restoran makanan segera itu. – Malaysiapost

