AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diperkenalkan baru-baru ini, tidak membantu rakyat.
Menurutnya skim berkenaan sebaliknya, seolah-olah seperti mahu membantu ‘tauke-tauke’ besar mengekalkan keuntungan mereka.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Perak, berkata ia kerana SHMKM menetapkan harga siling 12 barangan terpilih dalam skim tersebut pada kadar agak tinggi daripada harga sepatutnya.
“Sebagai contoh, harga pasaran semasa cili merah di luar musim perayaan ialah antara RM9 hingga RM10 sekilogram tetapi kerajaan tetapkan harga siling pada RM17.
“Sepatutnya kerajaan membantu dan berusaha membantu rakyat mendapatkan harga murah, jika kenaikan antara RM2 hingga RM3 itu biasalah, jadi ini bukan tindakan bijak oleh kerajaan,” katanya seperti dilapor oleh Utusan.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai perbahasan Belanjawan Perak 2022 di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak, hari ini.
Muhamad Arafat berkata, ada beberapa barangan dalam SHMKM hanya menyenaraikan harga pada peringkat pemborong dan peruncit sahaja, tetapi tidak meletakkan harga di ladang.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan harga di ladang sebagai ‘pengikat’ atau penanda aras kepada peletakan harga di peringkat pemborong dan peruncit, bagi membolehkan pengguna mendapat harga murah.
Beliau turut memberi contoh harga kangkung di ladang ialah antara 90 sen dan RM1.50 bagi satu kilogram (kg) tetapi dijual pemborong kepada peruncit pada harga antara RM5 hingga RM7 bagi setiap kg.
“Jadi, peruncit nak letak harga berapa, RM8, RM9 atau RM10 untuk mereka mendapatkan keuntungan?” katanya.
Menurutnya, kelemahan lain SHMKM ialah ada barangan yang mempunyai beberapa gred dan saiz seperti tomato tetapi diletakkan harga siling seragam iaitu RM5.50 sedangkan harga semasa tomato gred S iaitu paling kecil ialah RM2 satu kg.
Beliau turut mempertikaikan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan pekeliling SHMKM kepada peruncit pada 6 Disember iaitu sehari sebelum ia mula dikuatkuasakan.
“Ia kelihatan dibuat secara tergesa-gesa, sepatutnya memberi maklumat awal kepada peruncit kerana ia melibatkan isu berkaitan stok barangan.
“Seolah-olah mahu bagi keuntungan kepada peladang dan pemborong, yang jadi mangsa ialah peruncit dan pengguna,” katanya. – Malaysiapost

