Kerajaan perlu bayar pampasan kepada Sarawak – Kit Siang

0
1

KERAJAAN persekutuan disaran mengadakan perbincangan serius untuk memberi pampasan kepada Sarawak susulan kesan daripada Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1976 yang diluluskan 45 tahun lalu.

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyarankan perkara itu dan mendakwa selama 45 tahun Sarawak dianggap sebagai satu daripada 13 negeri di Malaysia dan bukannya sebagai satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia pada 1963.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dua generasi rakyat Sarawak kehilangan hak asas sebagai warganegara dan mundur dari segi pembangunan selama setengah abad.

“Ahli Parlimen kerajaan Sarawak bersorak gembira apabila Rang Undang-undang (Pindaan) 2021 (membabitkan Perjanjian Malaysia 1963) diluluskan semalam.

“Tetapi sorakan yang sama turut bergema semasa Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1976 diluluskan 45 tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Ahli Parlimen yang menentang Rang Undang-undang (Pindaan) 1976 ialah sembilan Ahli Parlimen DAP dan sekiranya tidak diluluskan, Sarawak tidak akan hanya menjadi salah satu daripada 13 negeri Malaysia selama 45 tahun.

Menurutnya, Sarawak akan mempunyai status yang lebih tinggi sebagai salah satu daripada tiga wilayah, iaitu Sarawak, Sabah dan Malaya, yang membentuk Malaysia pada tahun 1963, dengan implikasi yang luas dari segi peruntukan kewangan, autonomi negeri mengenai pendidikan dan kesihatan, hak minyak dan status pembangunan.

“Sebelum Parlimen ditangguhkan pada Khamis, ia perlu menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pampasan kepada Sarawak dan Sabah bagi Akta Pindaan Perlembagaan 1976.

“Ini kerana menganggap kedua-dua wilayah itu sebagai salah satu daripada 13 negeri Malaysia apabila ia sepatutnya dianggap sebagai salah satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia pada tahun 1963.

“Syor mengenai langkah-langkah pemberian pampasan yang sepatutnya juga perlu dibuat oleh kerajaan dalam mesyuarat Parlimen akan datang,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata Jawatankuasa Pilihan Khas itu hendaklah dipengerusikan bersama oleh seorang Ahli Parlimen Sarawak dan seorang Ahli Parlimen Sabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here