Polis mohon bantuan saksi bas ekspres rempuh 10 kenderaan tampil

0
1

POLIS memohon saksi kemalangan membabitkan sebuah bas ekpres merempuh 10 kenderaan dalam kejadian di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Perai, Pulau Pinang petang semalam, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata maklumat itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Sufi Abdul Razak di talian 013-4774542 atau 04-5382222.

Katanya, polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 2.40 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah bas dari arah Butterworth, Pulau Pinang dalam perjalanan ke Ipoh, Perak dipercayai hilang kawalan sebelum dilaporkan merempuh semua kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Shafee berkata, dalam kejadian itu beberapa mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, media melaporkan, sebuah bas ekspres dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh hampir 10 kenderaan di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan berdekatan Perai, Pulau Pinang petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu tular di platform media sosial termasuk Facebook, yang memaparkan detik sebelum kejadian cemas itu berlaku.

Menerusi perkongsian itu, bas ekspres yang berada di lorong kanan tiba-tiba dalam keadaan terhuyung-hayang.

Tidak lama kemudian, bas yang dipandu pemandu yang belum dikenal pasti identitinya itu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum dilihat merempuh beberapa kenderaan lain.

Difahamkan, 10 kenderaan telah dirempuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here