DATUK Seri Najib Razak menjelaskan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu memerlukan dana untuk menyelamatkan 1MDB, mereka tidak perlu menjual tanah pada harga lebih mahal pada Bank Negara Malaysia (BNM).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia kerana BNM adalah milik kerajaan, maka BN cuma perlu meminta BNM membayar dividen tahunan lebih tinggi kepada kerajaan.
“Sebagai contoh dividen dibayar BNM pada tahun 2017 adalah RM2.5 bilion berbanding dividen tahun 2019 sebanyak RM4 bilion dan RM3.5 bilion bagi tahun 2020.
“Ataupun kita boleh jual aset Khazanah Nasional seperti aset melebihi RM30 bilion dijual kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu bagi membalas dakwaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan syak wasangka bahawa tanah yang dibeli BNM daripada kerajaan Persekutuan pada harga RM2.07 bilion pada 2017 bertujuan untuk membayar hutang 1MDB.
Pengerusi PAC, Wong Kah Who berkata, BNM membayar RM2.07 bilion untuk tanah berkenaan yang menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bernilai RM1.422 bilion.
Menurut beliau, hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember 2017.
Sementara itu, Najib membidas kenyataan PAC itu dengan berkata mengapa BN perlu berusah payah mengambil dana tambahan sebanyak RM650 juta dengan menjual tanah dengan harga RM2.07 bilion berbanding nilai RM1.42 bilion.
“Tanah seluas 55.8 ekar itu memang bersebelahan dengan Museum BNM, Sisana Kijang milik BNM dan Asean School of Business yang juga milik BNM serta Sogo dan Kompleks Pertama di tengah Kuala Lumpur.
“Jadi, adakah harga tanah itu benar-benar bernilai RM584 untuk satu kaki persegi (RM1.42 bilion bagi 55.8 ekar) seperti penilaian JPPH yang didakwa PAC?
“Sedangkan harga tanah Kampung Bharu kan dah melebihi RM1,000 satu kaki persegi?,” katanya lagi.
Najib berkata, tambahan pula lokasi strategik itu bukan dijual kepada pihak swasta dan status tanah tersebut itu masih milik kerajaan bawah BNM.
“Bukan seperti penjualan aset negara berpuluh-puluh bilion kepada pihak swasta seperti dibuat oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) dahulu, pembayaran dividen Petronas melebihi RM137 bilion atau penambahan hutang negara sebanyak RM300 bilion selepas PRU14 tetapi satu sen prinsipal hutang 1MDB tidak pernah dibayar sehingga sekarang,” katanya. – Malaysiapost

