
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi ruang sehingga tamat penggal pada 2023 untuk terus menerajui pentadbiran negara, kata beberapa pemimpin kerajaan.
Ini kerana Ahli Parlimen Bera itu berjaya menunjukkan prestasi baik dengan mencapai beberapa kejayaan awal dalam tempoh 100 hari selepas mula memegang jawatan itu pada 21 Ogos tahun ini.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman, berkata kejayaan dicapai Perdana Menteri ialah sokongan majoriti dua pertiga untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, sokongan Bajet 2022 serta Rancangan Malaysia Ke-12.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Ismail Sabri juga berjaya memulihkan ekonomi, biarpun tidak sepenuhnya.
“Itu menunjukkan kehebatan, kewibawaan dan kepimpinan seorang Perdana Menteri. Jadi kita ucapkan tahniah dan syabas kepada beliau dan daripada pihak backbenchers yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan, menyokong penuh kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Mudah-mudahan beliau dapat terajui kerajaan sehingga habis penggal 2023, supaya keadaan terus stabil, terus mantap dan kukuh serta dapat sokongan semua pihak.
“Sebagaimana kita sedia maklum, bukan saja dari pihak kerajaan, pihak pembangkang juga, Pakatan Harapan pun telah berjanji dan menyokong kerajaan ini dan Perdana Menteri. Jadi kita ucap terima kasih kepada pembangkang. Ini adalah new politics, matured politics dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Turut serta dalam sidang media itu ialah ahli parlimen dari pelbagai parti politik termasuk Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau mengharapkan sokongan terus kepada Perdana Menteri dan tiada pilihan raya sehingga tamat penggal ini.
“Sebagai backbenchers kita mesti beri sokongan kepada Perdana Menteri kita untuk beliau teruskan sehingga 2023. Rakyat tahu yang kerajaan yang dipilih tu selama lima tahun untuk satu penggal.
“Kita mesti sokong perdana menteri sehingga habis tempoh PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), selepas itu baru kita boleh buat pilihan raya. Banyak perlu dilakukan untuk rakyat dan negara,” katanya.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Rohani Karim yang mewakili GPS merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana prinsip semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Menurut Rohani, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkait Perjanjian Malaysia 1963 yang dicapai di Dewan Rakyat hari ini membuktikan kekuatan seluruh rakyat.
“Syukur… ini semangat kelurga Malaysia yang sebenarnya yang sangat kita alu-alukan, dengan semangat Keluarga Malaysia semua akan rasa kekuatan.
“(Mengenai) MA63, saya ucap jutaan terima kasih kepada rakan-rakan semua yang beri sokongan yang begitu besar sekali dan bagi saya ini semangat keluarga Malaysia.
“Hadiah ini untuk rakyat Sarawak dan Sabah. Sangat signifikan (ketika) kita sedang melaluii PRN (Pilihan Raya Negeri) Sarawak. Mudah-mudahan dengan petunjuk ini kita sama-sama doakan bahawa PRN kali ini kita akan saksikan kekuatan yang baharu dari keluarga Malaysia,” katanya.
Mewakili Pas pula, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sependapat bahawa kepimpinan Ismail Sabri harus disokong penuh kerana berjaya membina wadah baharu kepada negara.
Mohd Khairuddin juga yakin banyak rancangan lain yang boleh dilaksanakan Perdana Menteri untuk rakyat Malaysia.
“Kami (Pas) berdiri penuh bersama dengan Yang Amat Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri sehingga akhir penggal,” ikrar Mohd Khairuddin. – Malaysiapost
