PELAKON popular, Uqasha Senrose menegaskan hasrat untuk menunaikan umrah sebagai destinasi pertama yang dikunjungi bersama suaminya, Kamal Adli adalah tujuan untuk beribadat.
Ia selepas timbul pandangan kurang enak segelintir pihak yang menghakimi rancangan pasangan pengantin baharu itu menunaikan umrah untuk berbulan madu atau berseronok,
“Saya telah menunaikan umrah sebanyak tiga kali sebelum ini dan sudah melalui proses khusus untuk ke sana, bukannya pergi hendak berjalan-jalan.
“Orang nak beribadah, bukan ke sana nak ‘main’. Cantik sungguh bahasa masya-Allah,”tulisnya dalam Insta Story.
Pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu berkata, jika hasratnya dan suami untuk berseronok sebagaimana segelintir pihak fikirkan, pasti destinasi lain yang menjadi pilihan mereka berdua.
Tegas Uqasha, perjalanan ke Tanah Suci juga telah dirancang dan diatur oleh sebuah agensi umrah bersama-sama ahli keluarga lain.
“Jika nak berbulan madu, lebih baik saya pilih tempat lain. Saya pergi dengan agensi yang disertai oleh ustaz.
“Saya juga ke sana bukan hanya dengan suami sahaja, adik-beradik seperti Nelydia Senrose juga ikut. Sepatutnya doa yang baik-baik atau mengirimkan doa, Allahuakbar,” ujarnya.
Pelakon berusia 29 tahun itu juga memuat naik tangkap layar sebuah akaun parodi di Twitter membuat ‘pesanan mesra’ untuknya dan Kamal agar berhati-hati sepanjang menunaikan umrah bagi mengelakkan dikenakan bayaran dam (denda).
“Hati-hati Uqasha. Jangan sampai kena bayar dam sebab terlajak mesra waktu tunaikan umrah,” usik seorang pengguna Twitter.
Pasangan itu mengumumkan secara rasmi berita perkahwinan mereka pada 7 Disember lalu selepas selepas sebulan bergelar suami isteri. – Malaysiapost

