AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai ‘pilih bulu’ dalam menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes 1MDB.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menuntut RCI terhadap kes 1MDB tetapi tidak kepada kes melibatkan bekas Peguan Negara Tan Sri Tommy Thomas yang mendakwa terdapat campur tangan politik dalam perlantikan Hakim.
“Bahkan nama Lim Kit Siang turut dikait dalam perlantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Apatah lagi Tommy Thomas yang gugurkan kes rasuah anaknya.
“Lim Kit Siang “pilih bulu” dalam menuntut penubuhan RCI,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Puad mencabar Kit Siang mendesak penubuhan RCI terhadap buku tulisan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan dakwaan Tommy.
“Dengan perang terbaru Mahathir -Tony Pua, saya cabar Kit Siang supaya desak penubuhan RCI terhadap buku Tun M (Mahathir) itu.
“Tuduhan Tun M itu berat. Ia melibatkan salah guna kuasa dan berlagak Menteri. Tetapi Lim Kit Siang tidak akan berani kerana ia babitkan anaknya sebagai Menteri MOF (Kewangan). Itu saya kata dia hipokrit dan amat selektif,” katanya.
Semalam, Kit Siang berkata terbukti Mohd Puad terbukti sebagai penipu negara yang membuat dakwaan tidak berasas dan berpura-pura tidak memahami rasuah dan kleptokrasi.
Beliau juga mempersoalkan adakah Puad bersetuju untuk penubuhan RCI mendedahkan skandal 1MDB .
Sementara itu, Mohd Puad menegaskan beliau bersetuju jika RCI menubuhkan terhadap kes 1MDB.
“Dia cabar saya, apakah saya bersetuju RCI terhadap 1MDB? Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Bukankah itu 10 janji utama 100 hari PH (Pakatan Harapan) kalau menang PRU (Pilihan Raya Umum) ke 14?
“Tetapi setelah 660 hari (22 bulan) memerintah kenapa RCI 1MDB tidak dibuat. Itu saya kata, Lim Kit Siang bukan sahaja hipokrit tetapi penipu,” katanya. – Malaysiapost

