Sungai Klang, Gombak ditransformasi sebagai ikon waterfront

0
1

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) sedang mentransformasi Sungai Klang dan Sungai Gombak kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi melalui Projek River of Life (RoL).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata pelaksanaan projek RoL terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Pembersihan Sungai, Pengindahan Sungai dan Pembangunan Tanah.

Secara amnya, katanya, Projek RoL dilaksanakan di sepanjang 110 km di sekitar Kuala Lumpur melibatkan lapan sungai iaitu Sungai Klang, Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Kerayong, Sungai Ampang dan Sungai Bunus.

“Komponen Pengindahan Sungai melibatkan kerja menaiktaraf taman-taman awam, fasiliti laluan pejalan kaki dan basikal di pinggiran Sungai Klang dan Sungai Gombak
sepanjang 10.7 km serta kawasan tumpuan orang ramai sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Kuala Lumpur dikenali Presint 7.

“Selain itu Masjid India, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Dataran Merdeka iaitu dikenali Pakej 1C1D, manakala sekitar PWTC sehingga Dang Wangi iaitu Pakej 3A3B dan sekitar LRT Pasar Seni sehingga Brickfield iaitu Pakej 4A4B.

“Keempat-empat pakej ini telah siap pelaksanaannya di tapak. Kerja pengindahan sungai yang terlibat untuk Presint 7 adalah Sungai Klang, Pakej 1C1D adalah Sungai Gombak dan Sungai Klang, Pakej 3A3B adalah Sungai Gombak dan Pakej 4A4B adalah Sungai Klang,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Namun Jalaluddin berkata kerja pengindahan dilaksanakan di kawasan pinggiran sungai itu hanya tertumpu di kawasan yang dinyatakan, bukan di sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang yang bermula di sempadan Selangor di Gombak untuk Sungai Gombak dan di Jelatek untuk Sungai Klang.

Beliau berkata umum sedia maklum lokasi projek pengindahan Sungai Melaka atau kini dikenali “Melaka River Cruise” terletak hampir Laut Selat Melaka menyebabkan pengaliran air sungai tenang dan boleh dikawal dengan pintu air.

“Manakala keadaan Sungai Gombak dan
Sungai Klang adalah lebih agresif dan dinamik terutama di kawasan merentasi bandar raya Kuala Lumpur.

“Oleh itu, ia satu cabaran besar untuk projek RoL dilaksanakan sama seperti projek pengindahan Sungai Melaka pada ketika ini memandangkan projek RoL telah berada pada kemajuan 94.85%,” katanya.

Terdahulu Senator Muhammad Zahid Md Arip meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan apakah KWP bercadang untuk mengindahkan Sungai Gombak dan Sungai Klang yang merentasi bandar raya Kuala Lumpur menggunakan kaedah sama seperti projek pengindahan Sungai Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here