Mahkamah pertimbang bicara kes Rosmah dalam talian

0
1

PERBICARAAN kes rasuah projek solar hibrid melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor mungkin dijalankan melalui prosiding secara dalam talian pada 23 Disember ini.

Ia berikutan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu sekali lagi tidak dapat hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi, kerana menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 seperti dipapar pada status aplikasi Mysejahteranya.

Rosmah sebelum ini terlepas dua tarikh perbicaraan kerana status Mysejahteranya pada 8 dan 10 Disember.

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hanya membenarkan mereka berstatus risiko rendah (warna biru) pada aplikasi MySejahtera memasuki mana-mana premis.

Rosmah tidak kelihatan dalam mahkamah namun dia dilihat berada dalam keretanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi, lapor Malaysiakini.

Difahamkan, dia tidak dibenarkan masuk ke dalam premis mahkamah berikutan status Mysejahtera yang berwarna kuning.

Semasa prosiding Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah akan mempertimbang cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram untuk mengadakan perbicaraan dalam talian.

Peguam tertuduh Datuk Jagjit Singh mengesahkan kepada mahkamah bahawa status Mysejahteranya masih jingga.

Sri Ram kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan hakim mengarahkan prosiding dijalankan melalui prosiding secara dalam talian.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, beliau bersedia untuk mengatur agar Timbalan Pendakwa Raya lain hadir di kediaman Rosmah pada prosiding secara dalam talian.

Sri Ram menambah, pegawai mahkamah juga boleh hadir di kediaman Rosmah supaya prosiding dalam talian dapat diteruskan tanpa sebarang halangan.

Prosiding dalam talian melibatkan situasi di mana hakim dan pihak pendakwaan hadir di mahkamah, manakala tertuduh mengikuti prosiding dalam talian dari lokasi lain.

Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, menjalankan prosiding secara dalam talian berkaitan rayuan kes rasuah RM42 juta SRC International membabitkan Najib.

Rosmah, 69, sebelum ini menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Bayaran tersebut dikatakan diterima melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here