PRESIDEN Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu hubungan istimewa antara parti komponen Barisan Nasional (BN) terus diperkukuh, walaupun terdapat pelbagai dugaan dan cabaran yang cuba menggugatkan keutuhan mereka.
Ahmad Zahid berkata, memang benar wujud anasir yang cuba menggugat keutuhan BN, tetapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, sudah membuktikan apakah natijahnya jika BN berpadu.
“Keyakinan rakyat bersama BN dan calon tunggal MIC diberi mandat serta kemenangan mutlak oleh pengundi di DUN Gadek.
“Maka mari kita terus kukuhkan hubungan istimewa antara komponen BN ini walau apa dugaan dan cabaran mendatang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu Presiden Umno itu hari ini merasmikan Persidangan Tahunan MIC Ke-75.
Katanya, MIC merupakan sebuah parti politik yang dari dulu bersama dalam perjuangan BN.
Katanya, semangat setiakawan yang terbina dalam kalangan parti komponen BN sejak asas penubuhannya terus mekar.
“Walaupun lumrah kancah politik sekali sekala timbul perkara yang menguji hubungan, namun semangat kemuafakatan meleraikannya.
“Jadi, matlamat kita bersama sentiasa jelas iaitu BN kembali jadi pilihan utama rakyat Malaysia dalam PRU akan datang.
“Segalanya demi masa depan Malaysia yang makmur dan sejahtera,” katanya. – Malaysiapost

