RESPON balas Tony Pua mengesahkan dakwaan terhadapnya adalah benar, demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah menyebut nama Pua dalam buku terbaharunya yang mendakwa Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu memiliki sikap terlebih sudu daripada kuah.
“Seperti yang anda tahu saya tidak menamakan dia (dalam buku itu), namun jelas sekali dia faham apa yang saya katakan mengenainya.
“Respons dia sendiri membuktikan apa yang saya katakan adalah benar,” katanya semasa pelancaran secara maya memoir terbarunya, Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia di sebuah kedai buku di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara menjawab dakwaan Mahathir dalam tiga kenyataan berbeza.
Pua menyifatkan beliau dinilai secara tidak adil berdasarkan persepsi dicipta oleh kalangan ahli perniagaan yang mempunyai kepentingan dan akibat sentimen politik dalam Bersatu dan Umno.
Pua dalam kenyataan pertamanya berkata, beliau yakin menjadi sasaran dan mendakwa cara paling mudah untuk mencetuskan kemarahan Mahathir adalah “menyasarkan titik lemahnya berkenaan beberapa ‘bos perniagaan besar’ yang dilayan secara tidak adil”. – Malaysiapost

