SASARAN menyediakan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021 telah berjaya dicapai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, bilangan pencari kerja yang mendapat pekerjaan tahun ini telah melebihi sasaran ditetapkan Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021.
“Bersempena Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari, Kerajaan melalui Majlis Pekerjaan Negara (National Employment Council – NEC) dengan sukacitanya mengumumkan setakat 3 Disember 2021, sebanyak 500,257 pencari kerja telah mendapat peluang pekerjaan.
“Sebanyak 27 inisiatif dilaksanakan kerajaan, melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kejayaan itu amat bermakna buat negara yang menghadapi pelbagai cabaran sepanjang pandemik Covid-19.
“Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pasaran buruh menghadapi pelbagai cabaran getir akibat penularan Covid-19 sejak Mac 2020, sehingga pengangguran melonjak kepada kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020.
“Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pencapaian kejayaan tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dan Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP),” katanya.
Mengulas mengenai PenjanaKerjaya, Ismail Sabri menjelaskan, program itu telah menempatkan 221,966 pekerja, melangkaui sasaran keseluruhan 200,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021.
“PenjanaKerjaya dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan insentif penggajian sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan kepada majikan serta program latihan kemahiran tinggi atau sijil profesional kepada pekerja sehingga RM7,000.
“MySTEP yang merupakan inisiatif kerajaan dengan nilai RM700 juta telah melangkaui sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi tahun 2021 dengan menempatkan 61,328 orang pekerja secara kontrak selama sekurang-kurangnya enam bulan di pelbagai kementerian dan Agensi Kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Dari jumlah tersebut, seramai 41,680 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam manakala 19,648 pekerjanditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategik mereka,” katanya.
Menurutnya, di bawah program MySTEP, pemohon ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Petronas, Permodalan Nasional Berhad, KWSP dan Khazanah Nasional. – Malaysiapost

