PERJUANGAN untuk menegakkan kebenaran penuh dengan onak dan duri, namun tidak mengapa kerana itulah ujian, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tanpa merujuk mana-mana pihak, Presiden Umno itu, berkata langkah menegakkan kebenaran bertambah ranjau ketika kebatilan sentiasa merancang untuk menyekat.
“Kebatilan yang licik mengatur serta menyusun agenda dan naratif menggunakan segala tipu muslihatnya.
“Kerana itu tidak semua sanggup menentang kebatilan, memilih untuk tunduk disebabkan tahu lara dan likunya,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid menyifatkan golongan yang tunduk itu tidak begitu ‘teruk’, berbanding yang menawarkan diri menjadi alat menidakkan kebenaran.
“Apatah lagi sanggup memanipulasi agama mengelirukan antara kebatilan dan kebenaran demi menghalalkan kehendak.
“Namun, InsyaAllah perjuangan menegakkan kebenaran pasti beroleh keberkatan kerana kezaliman harus ditewaskan.
“Biar apa pakatan cuba menafikan kebenaran, kepada Allah SWT jua kita berdoa dan berserah memohon pertolongan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun apa jua ikatan mahu ‘menenggelamkan’, perjuangan akan tetap diteruskan.
“Kepada sahabat dan rakan yang tidak pernah tunduk serta gentar kepada kebatilan dan kezaliman janganlah bimbang.
“Insya Allah, yakinlah dengan apa yang terkini kita saksikan seharusnya menjadi azimat penguat semangat meneruskan perjuangan.
“Kini kita ada sebab dan tujuan yang lebih jelas lagi meyakinkan perjuangan ini sebuah perjuangan yang luhur,” katanya. – Malaysiapost

