Motif kejadian buli pelajar MRSM masih dalam siasatan

0
1

MOTIF dan punca kejadian buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata setakat ini enam pelajar yang disyaki terlibat dalam kejadian itu telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurutnya, polis akan memanggil empat lagi pelajar sekolah berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

“Motif kejadian masih dalam siasatan.

“Setakat ini, 10 pelajar lelaki telah dipanggil untuk beri keterangan. Enam daripada mereka sudahpun selesai beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dan empat lagi akan hadir pada malam ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mior Faridalathrash berkata, daripada 10 yang dipanggil itu, sembilan pelajar berusia 13 tahun manakala seorang berusia 15 tahun.

“Kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik siasatan selesai,” katanya.

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Menerusi video tular berdurasi 10 saat itu, kelihatan sekumpulan pelajar mengambil giliran untuk menumbuk serta menendang seorang pelajar lain di asrama sekolah.

Beberapa lagi video berdurasi antara 13 hingga 30 saat turut dimuat naik memperlihatkan mangsa diarahkan kekal berdiri sebelum dia ditendang dari arah belakang selain ditumbuk beberapa kali pada bahagian perut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here