Kes buli: 6 pelajar MRSM digantung sekolah dua minggu

0
1

MARA mengambil tindakan serta merta terhadap ENAM pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes buli dengan menggantung sesi persekolahan mereka selama dua minggu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi itu.

“JDM MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

“Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala 4 pelajar yang berada di lokasi kejadian telah didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya dalam sidang media di Padang Terap, hari ini.

Mengulas lanjut insiden itu, Mahdzir menegaskan, pihaknya mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis berdasarkan siasatan luaran.

Mahdzir menambah, pihak MARA mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

“Malang bagi Maktab Rendah Sains MARA yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jatidiri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM,

“Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here