‘Jangan politikkan pelaksanaan rangkaian 5G’ – Muhyiddin

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta pelaksanaan rangkaian 5G tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak atas kepentingan sempit masing-masing.

Menurutnya, sebagai bekas Perdana Menteri, beliau telah terlibat dengan pelbagai perbincangan, termasuklah sesi libat urus dalam menjayakan usaha tersebut.

“Baru-baru ini, terdapat beberapa perkara yang telah menarik perhatian umum mengenai pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), terutamanya kaedah yang akan diadaptasi oleh mereka, iaitu model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN).

“Saya telah dimaklumkan bahawa cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak berjaya dilaksanakan kerana perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi.

“Ini telah menyebabkan usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata susulan itu, perbincangan bersama pakar industri telah diadakan untuk mencadangkan pembentukan sebuah syarikat tujuan khas, atau Special Purpose Vehicle (SPV), yang dimiliki penuh oleh kerajaan untuk melaksanakan rangkaian borong tunggal 5G ke seluruh negara.

“Selanjutnya, pada 19 Februari 2021, semasa Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan perkara ini serta bahawa teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat bermula hujung 2021,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik.

Katanya, model SWN yang dikawal selia oleh SKMM akan menyediakan akses yang adil dan sama-rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan.

Tambahnya, selain itu, SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM.

“Syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus, manakala sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024.

“Akhir kata, model SWN yang digunapakai DNB berserta manfaat-manfaat yang yang lain jelas menguntungkan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, yang lebih utama katanya, model tersebut akan memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G serta harga yang murah bagi perkhidmatan tersebut untuk seluruh rakyat, tidak kira individu atau perniagaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here