HARGA barangan keperluan harian termasuk ayam dan sayur-sayuran akan kembali stabil dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata pihaknya menjangkakannya susulan trend harga terkini untuk barangan tersebut semakin menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Katanya, antara faktor yang menjurus kepada penurunan harga itu termasuk cuaca di tempat pengeluaran sayur yang kembali pulih serta langkah yang diambil kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara.
Pada masa sama, ujar Rosol, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan sejak 2 Disember lalu sebagai kaedah penyelesaian jangka pendek terhadap isu kenaikan harga barangan akan tetap diteruskan sehingga Mac tahun depan walaupun harga barangan sudah kembali stabil.
“Kita merancang meneruskan pelaksanaan PJKM ini sehingga Mac tahun depan dan jika kenaikan harga barang berterusan kerana akan menyambut hari raya (awal Mei), kita akan kembali pantau keadaan ini dari semasa ke semasa.
“Apa yang penting ialah rakyat tidak terkesan (dengan kenaikan harga barangan semasa),” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian semasa meninjau PJKM di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda, Pulau Pinang, hari ini.
Sementara itu Rosol berkata, PJKM telah dilaksanakan di 15 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan nilai jualan sebanyak RM423,844 sejak dilancarkan 2 Disember lalu.
Menurutnya, jumlah kehadiran pengunjung memberangsangkan apabila lebih 28,000 pengunjung direkodkan di kesemua lokasi PJKM sebelum ini.
“Kita akan teruskan program ini secara berperingkat-peringkat di semua 222 buah kawasan Parlimen di seluruh negara sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat ketika ini,” katanya. – Malaysiapost

