Polis Perak siasat video buli pelajar sekolah berasrama penuh

0
1
Polis Di Raja Malaysia

POLIS sedang menyiasat video tular yang memaparkan insiden buli dipercayai melibatkan pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata beliau sudah mengarahkan polis Kuala Kangsar supaya melakukan siasatan kejadian tersebut.

Jelasnya, beliau baharu menerima video tular itu pagi tadi dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.

“Kadang-kadang, kejadian berlaku sudah lama, tetapi, ditularkan semula, apa pun saya belum dapat beri pengesahan, biar kita siasat dan dapat kesahihan dahulu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial hari ini beberapa rakaman video kejadian buli dipercayai berlaku di asrama sebuah institusi pendidikan menunjukkan seorang remaja ditumbuk di perut serta turut ditendang oleh beberapa remaja lain.

Video berkenaan ditularkan oleh seorang pengguna Facebook, namun semakan mendapati kesemua rakaman itu sudah dipadamkan daripada akaun terbabit dan tarikh serta di mana kejadian sebenar berlaku tidak dapat dipastikan.

Terdapat empat video yang tersebar dan dua daripadanya berdurasi 30 saat, manakala dua lagi masing-masing berdurasi 10 saat dan 12 saat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here