PIHAK Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menyiasat kes buli yang dikatakan berlaku di sebuah institusi pendidikannya di Perak seperti beberapa rakaman video yang tular di media sosial hari ini.
Pengerusinya Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata tindakan segera akan diambil terhadap pelaku berikutan budaya itu tidak sewajarnya wujud dalam kalangan pelajar.
“Saya terkejut melihat video ini kerana ia merupakan budaya yang tidak sihat dalam kalangan pelajar sekolah dan pastinya kita semua tidak mahu ia berulang.
“Kami akan menyiasat kesahihan rakaman video tular tersebut dan pasti akan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat.
“Perkara ini tidak sewajarnya dijadikan sebagai satu budaya kerana pelajar-pelajar ini masih di bawah umur dan masa depan mereka perlu dilindungi,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau mengulas mengenai kejadian buli yang dikatakan berlaku di sebuah institusi pendidikan di Kuala Kangsar.
Terdahulu tular di media sosial hari ini beberapa rakaman video kejadian buli dipercayai berlaku di asrama sebuah institusi pendidikan menunjukkan seorang remaja di tumbuk di perut serta turut ditendang oleh beberapa remaja lain.
Terdapat empat video yang tersebar dan dua daripadanya berdurasi 30 saat, manakala dua lagi masing-masing berdurasi 10 saat dan 12 saat.
Antara ‘aksi’ yang dirakam dalam video terbabit menunjukkan seorang remaja berpakaian baju warna merah dan seluar kelabu di tumbuk di bahagian perut oleh seorang remaja lain.
Turut dirakam serang lagi remaja lain bertindak menyepak punggung remaja sama dengan kuat, namun remaja yang dibuli terbabit hanya berdiam diri. – Malaysiapost

