Penjawat awam Perak terima bantuan khas RM1,000

0
1

KERAJAAN Perak mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri itu

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembayaran itu akan dibuat seawal Januari tahun hadapan.

“Selepas dua tahun mengharungi kehidupan bersama Covid-19, penjawat awam negeri tetap teguh dan komited sebagai pelaksana dalam memberi khidmat yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat.

“Sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang setia bersama, kerajaan negeri dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada setiap penjawat awam Negeri Perak RM1,000. Pembayaran ini akan dibuat seawal Januari tahun depan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, tambahan dana sejumlah RM1 juta disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Membeli Kenderaan.

“Manakala, tambahan dana RM1 juta juga disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Diri (Pegawai Awam),” katanya.

Menurutnya, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diperuntukkan sebanyak RM300,000 merangkumi RM100,000 dalam bentuk outright grant (OG) dan RM200,000 dalam bentuk projek kecil untuk masyarakat melalui Program Pemantapan Infrastruktur Bagi Memacu Kesejahteraan (Pemacu).

Katanya, setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ditambah RM200,000 lagi, iaitu RM100,000 dalam bentuk OG dan RM100,000 dalam bentuk kerja pembangunan untuk manfaat rakyat dan boleh dibelanjakan merentasi kawasan DUN masing-masing. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here