Lesen arak: Ka Siong berhenti tipu diri sendiri, orang ramai – Guan Eng

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhenti menipu diri sendiri dan orang lain berhubung isu perlesanan penjualan bir di restoran dan kedai kopi.

Beliau berkata, apa yang sepatutnya Ka Siong lakukan sekarang adalah meminta Kementerian Kewangan (MOF) memulihkan amalan terdahulu sejak 1993 untuk menangguhkan penguatkuasaan pelesenan.

“Apa yang rakyat dan pengusaha kedai mahukan ialah kembali kepada amalan sebelum ini iaitu menangguhkan keperluan pelesenan dan bukannya menangguhkan masalah dengan membiarkan Pihak Berkuasa Perlesenan Negeri membuat keputusan.

“Adakah Ka Siong akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk sebarang kos tambahan dan kesulitan yang dihadapi oleh kedai kopi dan restoran apabila beberapa kerajaan negeri mengenakan keperluan pelesenan?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan hanya mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia membatalkan taklimatnya sebelum ini tetapi tidak membatalkan dasar baharu mewakilkan kuasa kepada Pihak Berkuasa Perlesenan Negeri untuk memutuskan sama ada akan melesenkan penjualan bir oleh restoran dan kedai kopi.

Tambah beliau, secara ringkasnya, jika sesetengah kerajaan negeri memutuskan untuk mengenakan pelesenan penjualan bir dan alkohol kepada kedai kopi dan restoran, maka premis tersebut mesti mendapatkan lesen alkohol berharga sehingga RM1,300 untuk menjual bir.

“Dengan mengatakan bahawa masalah itu telah diselesaikan, tetapi mengelak untuk membincangkan dasar baru menurunkan kuasa untuk melesenkan atau mengecualikan premis runcit kepada Pihak Berkuasa Perlesenan Negeri masing-masing, Ka Siong pada dasarnya menipu dirinya sendiri dan menipu orang lain,” katanya.

Selasa lalu, Ka Siong yang juga Presiden MCA memaklumkan bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah diarahkan untuk membatalkan dasar baharu pelesenan arak untuk restoran dan kedai kopi.

Ka Siong dalam hantaran Facebook berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa kementeriannya telah mengarahkan pembatalan tersebut.

Semalam, Tengku Zafrul dilaporkan memaklumkan kerajaan setakat ini tidak berhasrat menarik balik sebarang kelulusan berkaitan pelesenan penjualan minuman keras dan ia kekal di bawah bidang kuasa Lembaga Pelesenan.

Beliau turut menafikan tohmahan yang menuduhnya bertindak membatalkan perkara berkaitan aspek pelesenan berkenaan.

Beliau berkata, perwakilan kuasa Menteri Kewangan bagi kelulusan penjualan minimum keras secara runcit di premis, kekal tanpa sebarang perubahan kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri melalui perintah diwartakan, pada 1977.

Menurutnya, oleh itu sebarang isu berhubung pelesenan atau pengecualian daripada pelesenan adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri sepenuhnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here