Pelakon remaja dalam siri ‘gay’ buat laporan polis

0
1

PELAKON Danish Iskandar membuat laporan polis hari ini susulan kontroversi melibatkan lakonannya dalam sebuah siri berunsur ‘gay’ yang tular baru-baru ini.

Menurut peguamnya, Wan Azmir Wan Majid daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak, laporan polis dibuat pada jam 10 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

“Anak-anak guam juga bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah kepada pihak produksi berkaitan isu moraliti tujuan penggambaran tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Azmir enggan memberikan butiran lanjut laporan polis dalam sidang media bersama pelakon itu hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata anak guamnya sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa jalan cerita itu mempunyai kaitan dan berunsur hubungan songsang.

Sebaliknya, katanya, skrip hanya menunjukkan ia sebuah cerita berkisarkan persahabatan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan mengesahkan isu berkenaan seorang pelakon berusia 17 tahun yang berlakon dalam sebuah siri berunsur gay telah dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, Jakim memandang serius isu yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya umat Islam.

Sebelum ini, Danish menegaskan yang dia tidak tahu menahu mengenai jalan cerita siri itu kerana penjelasan yang diberikan ketika pertama kali bermesyuarat dengan pihak produksi adalah kurang jelas.

Nama pelakon remaja itu menjadi perbualan apabila memilih untuk berlakon dalam siri yang ditayangkan pada 5 Disember lalu di aplikasi temu janji gay dan penstriman video. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here