Ancaman tentera Sulu : Agensi risik, keselamatan Malaysia dalam proses verifikasi

0
1

TIADA petunjuk ketara atau bukti kukuh mengesahkan ancaman tentera Sulu yang dikatakan sedia menawan Sabah seperti mana dilaporkan setakat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bagaimanapun tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

“Agensi perisikan dan keselamatan kita juga sudah mengambil maklum tentang perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi-agensi sejawat mereka di Filipina dan serantau seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara (IGP) dan Commander ESSCOM semalam.

“Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa memantau perkembangan yang sedang berlaku dan menilai indikator-indikator yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin juga telah mengarahkan Panglima Medan Timur (TDM) Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima Armada Timur (TLDM) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; dan dan Panglima Wilayah Udara 2 (TUDM) Mejar Jeneral Datuk Shamsudin Kassim untuk memastikan ATM meningkatkan kesiapsiagaannya ke tahap paling tinggi terutama di Pantai Timur Sabah.

Katanya, setakat ini di Laut Sulu dan Sulawesi yang juga merupakan laluan perairan antara Sabah dan Selatan Filipina, negara mempunyai inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina demi memastikan laluan perairan itu sentiasa selamat.

“Hubungan kerja saya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana juga akrab dan kukuh. Kami sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain mengenai perkara yang menjadi kebimbangan bersama terutama soal keselamatan,” katanya.

Dalam masa sama, Hishammuddin berkata, beliau dan Prabowo serta Lorenzana bersetuju melaksanakan semula Perbincangan Peringkat Menteri mengenai TCA dan merancang untuk bertemu pada Januari 2022.

Jelas beliau, pertemuan tersebut bagi kukuhkan lagi kerjasama antara angkatan tentera negara masing-masing di Laut Sulu dan Sulawesi.

“Memelihara keamanan dan kesejahteraan Sabah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi MINDEF.

“Walau apa jua ancaman dan cabaran sekalipun, saya dan kepimpinan MINDEF akan terus memastikan keselamatan Sabah tidak dikompromi dan kedaulatan negara tidak sewenang-wenangnya dinodai,” katanya.

Sejak semalam, terdapat laporan yang mendakwa seramai 600 anggota Tentera Diraja Sulu (Royal Sulu Army, RSA) dilaporkan bersedia untuk melancarkan operasi menawan Sabah.

Dikatakan, operasi tersebut telah dirancang selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari kawasan selatan Filipina. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here