CUEPACS memohon pertimbangan kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) agar menangguhkan dahulu bayaran balik pembiayaan perumahan sehingga rumah peminjam siap dibina oleh pemaju atau selepas menerima kunci.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata ketika ini syarat pembiayaan LPPSA menetapkan peminjam perlu membuat bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan daripada tarikh kelulusan pinjaman.
Bagaimanapun katanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu mengakibatkan banyak projek perumahan tergendala dan tidak dapat disiapkan mengikut tarikh ditetapkan.
“Ini mengakibatkan ada peminjam terpaksa membayar balik pembiayaan walaupun kediaman mereka belum disiapkan oleh pemaju ekoran projek yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
“Situasi ini mengakibatkan penjawat awam yang membuat pembiayaan LPPSA terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berganda iaitu membayar sewa rumah yang sedang didiami serta bayaran bulanan penuh pinjaman LPPSA untuk rumah yang belum siap.
“CUEPACS berharap LPPSA dapat memahami situasi semasa yang melanda negara kerana banyak kerja-kerja pembinaan tertangguh dan kemajuan pembinaan juga sangat perlahan disebabkan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata walaupun perkara itu terkandung dalam perjanjian, sewajarnya kerajaan dan LPPSA menggunakan budi bicara menyelesaikan permasalahan tersebut.
Katanya lagi, dalam keadaan ekonomi tidak begitu baik, adalah suatu perkara yang sangat memeritkan apbila mereka perlu dipotong gaji penuh setiap bulan untuk membayar semula pinjaman.
“Sudahlah tiada moratorium diberikan untuk pinjaman LPPSA, mereka ini terpaksa membayar penuh rumah yang masih lagi tidak siap.
“Tambahan pula dengan kos barangan yang naik mendadak ketika ini mengakibatkan pengurangan dalam pendapatan boleh guna penjawat awam,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata CUEPACS sekali lagi memohon pertimbangan kerajaan untuk memberi moratorium pinjaman kepada penjawat awam yang mempunyai pembiayaan perumahan melalui LPPSA.
Katanya, alasan bahawa penjawat awam dan pesara masih menerima gaji serta pencen penuh bagi menampung perbelanjaan bulanan tidak wajar digunakan untuk menolak pemberian moratorium pinjaman LPPSA.
“Lihatlah penjawat awam ini dalam konteks isi rumah yang mungkin terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bukannya sebagai individu semata-mata.
“Jika faktor individu diambil kira, masih ramai peminjam insititusi kewangan lain tidak terjejas tetapi layak mendapat moratorium pinjaman. Tetapi apabila diukur daripada sudut isi rumah, sudah semestinya perkara ini dipertimbang bagi pemberian moratorium.
“Justeru masih belum terlewat untuk kerajaan melalui LPPSA memberi moratorium pinjaman sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan,” katanya. – Malaysiapost

