PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata prestasi keseluruhan 100 Hari Jemaah Menteri belum menepati sasaran 100 hari seperti yang dihasratkan.
Beliau berkata, namun begitu ketika ini prestasi keseluruhan Ahli Jemaah Menteri telah mencapai sekitar 90 peratus.
“Bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata.
“Maka, peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat,” katanya ketika Perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini,
Ismail Sabri berkata, sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) itu tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi.
Katanya, prestasi yang beliau maklumkan bukan hanya memberikan tumpuan kepada KPI semata-mata, tetapi juga mengambil kira persepsi Keluarga Malaysia melalui tinjauan soal selidik yang diberikan.
Beliau turut menghargai penglibatan Keluarga Malaysia dalam menilai kepemimpinan, integriti, komunikasi, kebolehpercayaan, responsif dan empati setiap Jemaah Menteri dan kementerian.
“Hal ini selaras dengan Key Happiness Outcome (KHO) yang telah diperkenalkan dalam Keluarga Malaysia untuk melengkapi KPI yang disasarkan. KHO dapat mengukur kepuasan hati rakyat pada bila-bila masa.
“Ia dapat memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report, yang kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan usaha itu merupakan permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan.
“Saya berharap, lebih ramai lagi Keluarga Malaysia memberikan pandangan melalui pelbagai mekanisme penambahbaikan, bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

