MAHKAMAH Rayuan hari ini mengeluarkan penghakiman penuh setebal 316 muka surat, sehari selepas mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Antara dinyatakan dalam penghakiman oleh panel tiga hakim itu adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mensabit dan mengenakan hukuman, sudah mengimbangi kepentingan perayu dengan kesan perbuatannya kepada negara, lapor Berita Harian.
“Mahkamah dalam menegakkan kedaulatan undang-undang hendaklah melakukan apa yang perlu untuk memastikan wabak zaman moden ini dihapuskan demi kebaikan negara.
“Undang-undang sememangnya ‘tidak pilih kasih’, semua manusia adalah sama di sisi undang-undang dan mahkamah mengguna pakai undang-undang sama rata kepada semua,” demikian menurut penghakiman berkenaan.
Panel hakim turut memetik kata-kata Sultan Azlan Shah (ketika menjadi hakim Mahkamah Tinggi) melalui penghakiman Almarhum dalam kes Pendakwa Raya lawan Datuk Seri Harun Idris (bekas Menteri Besar Selangor) yang disabitkan dengan tiga tuduhan rasuah.
“Kata-kata dalam penghakiman itu masih relevan dalam kes membabitkan perayu dan di mana kita sebagai sebuah negara berada sekarang. Keruntuhan yang menakutkan terhadap integriti beberapa pemimpin melalui amaran oleh Almarhum Sultan Azlan Shah, 45 tahun yang lalu masih membelenggu negara kita,” kata mereka.
Petikan daripada penghakiman Almarhum berbunyi: “Saya ulangi apa yang saya katakan sebelum ini … undang-undang tidak pilih kasih, bagaimanapun adalah mustahil untuk mengabaikan fakta bahawa anda berada dalam kategori yang berbeza daripada mana-mana individu yang pernah saya bicarakan.
“Adalah mustahil untuk mengabaikan hakikat bahawa di mata berjuta rakyat negara ini, anda adalah seorang patriot dan pemimpin. Malah mereka yang berbeza dengan pandangan politik memandang anda sebagai seorang yang penuh ketokohan.
“Anda mempunyai setiap peluang untuk mencapai tahap pencapaian tertinggi, namun anda membenarkan ketamakan merosakkan anda. Tidak dapat difahami bagaimana seorang dalam kedudukan kamu tidak dapat menggunakan hati nurani, dengan menerima rasuah.
“Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mengkhianati kepentingan parti anda, yang mana anda pertahankan, tetapi juga sumpah jawatan yang anda ambil dan laksanakan di hadapan Raja Berdaulat dan dan yang paling utama adalah undang-undang di mana anda perlu patuhi”. – Malaysiapost

