[PARLIMEN] KERAJAAN tidak bercadang mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan kerana kos yang tinggi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Pada masa katanya, fokus perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan terjejas jika pilihan raya itu dilaksanakan kerana banyak masa akan tertumpu terhadap kempen.
Menerusi jawapan bertulis di Parlimen semalam, Reezal Merican berkata, pilihan raya untuk 151 pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka melibatkan belanja sehingga RM302 juta, iaitu RM2 juta bagi setiap PBT.
“Cadangan mengadakan semula pilihan raya bagi memilih Ahli Majlis PBT merupakan antara perkara dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Bagaimanapun, Jemaah Menteri pada 17 Julai 2020 bersetuju supaya cadangan ini tidak diteruskan,” katanya.
Selain itu Reezal Merican berkata sistem pelantikan Ahli Majlis PBT sedia ada telah berjalan dengan baik.
Beliau menambah PBT masih boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa pilihan raya tempatan.
“Di bawah sistem sekarang, ahli majlis tempatan yang tidak menunjukkan prestasi baik boleh digugurkan atau tidak dilantik semula selepas tamat tempoh,” katanya.
Bagi memperkemas pelantikan Ahli Majlis, beliau berkata kementeriannya sedang membangunkan garis panduan pelantikan, antaranya memenuhi kriteria tempoh pelantikan, kelayakan akademik atau pengalaman profesional, komposisi masyarakat seperti kaum, jantina dan golongan minoriti. – Malaysiapost

