Prestasi 100 hari MITI baik – Azmin Ali

0
1

DUA keutamaan menjadi tumpuan Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri (MITI) dalam tempoh 100 hari di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata keutamaan itu adalah menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.

Beliau berkata, pengukuhan ekonomi adalah kunci kepada kekuatan sesebuah negara dan lantaran itu adalah penting bagi mencapai persekitaran perdagangan dan pelaburan yang dinamik.

“Tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah kepada pemerkasaan golongan B40, membawa mereka keluar daripada tekanan dan memberikan satu sumber ekonomi yang stabil.

“Bagi mencapai tumpuan utama tersebut, kita perlu memastikan kesinambungan perniagaan kekal terjalin serta mengawal pandemik yang berlaku dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat.

“Perniagaan yang terjamin akan memberikan pengekalan pekerjaan, seterusnya memastikan ekonomi rakyat kekal terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, MITI komited dalam mencapai kadar vaksinasi lengkap di kalangan pekerja sektor pembuatan melalui program Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS)

Katanya, PIKAS telah menunjukkan kejayaan dengan mencapai 85.5 peratus kadar vaksinasi lengkap berbanding sasaran awal sebanyak 80 peratus.

“Dari segi pelaburan, sukacita saya ingin nyatakan, sebanyak RM109.1 bilion pelaburan telah diluluskan dalam tempoh tiga bulan yang lalu dengan penciptaan 25,881peluang pekerjaan baru.

“Pelaburan ini penting bagi memperkukuhkan pasaran pekerjaan sekaligus menurunkan kadar pengangguran yang telah meningkat sejak pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pelaburan berkualiti tinggi akan terus ditingkatkan terutamanya dalam portfolio alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta masih banyak firma asing meninjau untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi operasi mereka.

“Bank Dunia juga mengunjurkan Malaysia akan mengalami peralihan daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi dan kita dalam landasan tepat untuk mencapai status berkenaan.

“Peningkatan nilai eksport sektor pembuatan pada September, Oktober dan November dianggarkan untuk mencecah RM325.6 bilion.

“Ini adalah isyarat awal memulakan semula enjin ekonomi Malaysia ke arah yang lebih baik, dan ia tidak akan berhenti sehingga Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi dan kekal menjadi hab ekonomi serantau,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here