38,000 rokok seludup dirampas

0
1

POLIS merampas 38,000 kotak rokok seludup tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM300,000 dan menahan dua lelaki dalam serbuan di Desa Tun Razak, Cheras dan Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata serbuan pertama dijalankan sepasukan polis daripada Balai Polis Sungai Besi di sebuah premis di kawasan Desa Tun Razak pada jam 5.30 petang.

Menurutnya, hasil serbuan dua lelaki tempatan berusia 58 dan 38 tahun berjaya ditahan dan pemeriksaan menemui 2,993 karton atau 29,930 kotak rokok tidak bercukai.

“Susulan itu, pada 8 malam hari sama dengan dipandu arah seorang daripada suspek satu lagi serbuan dijalankan di sebuah premis di Jalan Klang lama.

“Hasil serbuan menemui 807 karton atau 8,070 kotak rokok seludup dan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM300,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan.

“Polis menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di talian hotline Polis Cheras 03-9284 0083 atau hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here