Suami isteri aktif pecah kedai, kereta sekitar Genting Highlands diberkas

0
1

POLIS berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah kedai dan kenderaan di sekitar kawasan Genting Highlands dengan tertangkapnya pasangan suami isteri pada 2 dan 4 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata tangkapan pertama membabitkan lelaki berusia 31 tahun di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada 12.35 pagi Khamis lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dan kenderaan dipandunya menemui beberapa barangan yang dilaporkan dicuri di Balai Polis Genting Highlands.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dua kejadian curi dalam bangunan dan tiga pecah kenderaan di kawasan Genting Highlands.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan ganja serta mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes ragut, Imigresen dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan polis turut menemui dadah pada tubuh suspek iaitu syabu dianggarkan seberat 1.88 gram dan ganja seberat 3.25 gram.

“Hasil siasatan, suspek turut mengaku kegiatan jenayahnya dilakukan bersama isteri dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati sahih suspek bersama seorang wanita.

“Susulan itu polis menahan isteri suspek yang berusia 33 tahun Sabtu lalu pada jam 10.35 pagi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki kini direman tujuh hari sehingga 8 Disember ini, manakala suspek wanita direman empat hari sehingga 8 Disember ini juga.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala suspek lelaki turut disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1957. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here