SPR tubuh 115 pasukan penguat kuasa pantau aktiviti kempen PRN Sarawak 

0
3

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak. 

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sahaja dibenar mempamer, mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya. 

“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding. 

“Bahan kempen mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Ghani berkata, prosedur operasi standard (SOP) khas pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Sarawak telah diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam. 

Menurutnya, SOP tersebut selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. 

Jelas beliau berkata, SOP itu akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya iaitu taklimat petugas; proses cetakan dan semakan kertas undi; pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos; semakan isi peti undi; sepanjang tempoh berkempen; hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi. 

“Maklumat lanjut berkenaan SOP Pencegahan Covid-19 PRU DUN Sarawak Ke-12 boleh diperolehi di portal spr.gov.my. 

“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here